SIBURAN – Penyaluran bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi fasa dua yang mula disalurkan sejak 15 Mei lalu, menerima pelbagai reaksi positif daripada masyarakat.
Tinjauan wartawan Bilik Berita Cats di pusat beli-belah Eastern Mall baru-baru ini mendapati rata-rata pengguna menzahirkan rasa gembira terhadap penyaluran bantuan tersebut.
Bagi Freddy Mos (43), bantuan SKAS amat membantu meringankan beban kewangan sementara menunggu gaji pada penghujung bulan.
Sementara itu, Hamdiah Zaidi (30), turut berkongsi pandangan sama, terutama apabila bantuan SKAS digunakan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan asas.
Kenlorena Abigel Imbra (26), pula menyifatkan bantuan itu sebagai sangat membantu dalam urusan kebajikan bulanan keluarganya.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan tersebut, penyaluran SKAS menerusi platform SPay Global dilihat agak mencabar, khususnya bagi golongan warga emas.
Freddy berkata, penggunaan telefon pintar secara meluas dilihat selari dengan visi digitalisasi Premier Sarawak, apabila penyaluran bantuan secara digital juga dianggap lebih sesuai berbanding secara tunai.
Menurutnya ia bagi mengelakkan penyalahgunaan bantuan untuk tujuan yang tidak sepatutnya.
Namun begitu, kaedah tersebut sedikit sebanyak menyukarkan golongan warga emas yang bergantung kepada bantuan anak-anak untuk mengendalikan aplikasi berkenaan.
Menurut Hamdiah yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi, masalah berkaitan ID pengguna sering menjadi isu utama.
Katanya, ramai pengguna bertanyakan cara mendapatkan semula nombor telefon yang sudah tidak aktif bagi tujuan pengesahan ID pengguna aplikasi SPAY Global.
Namun, proses untuk mendapatkan semula nombor tersebut didapati agak sukar.
Sehubungan itu, mereka berharap agar bantuan SKAS pada masa hadapan dapat ditambah baik, terutama dari segi kemudahan akses kepada bantuan berkenaan.
Terdahulu, bantuan SKAS fasa pertama telah disalurkan pada Mac lalu, manakala fasa kedua mula disalurkan bulan ini sebelum diteruskan dengan fasa ketiga yang dijadualkan pada November depan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back