KUCHING - Harvest Fusion Festival (HFF) kembali dianjurkan bagi edisi ketiga tahun ini dengan pelbagai pengisian budaya, makanan dan hiburan yang dijangka menarik kehadiran pengunjung tempatan serta luar Sarawak.
Festival selama 10 hari itu akan berlangsung bermula 22 hingga 31 Mei depan di kawasan Tempat Letak Kereta Dewan Komuniti MBKS, dari jam 4 petang hingga 11.30 malam setiap hari.
Pengarahnya, Ray Houston Peta berkata, penganjuran festival kali ini terus mengekalkan konsep perpaduan budaya dan keharmonian masyarakat menerusi pelbagai aktiviti berteraskan warisan Sarawak.
Menurut beliau, kemasukan ke festival tersebut adalah percuma hasil sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta pihak berkuasa tempatan.
Bercakap pada sidang media di The Spring Kuching, hari ini, beliau berkata HFF bukan sekadar festival makanan dan muzik, sebaliknya menjadi platform meraikan identiti serta kepelbagaian budaya masyarakat di Bumi Kenyalang.
Sepanjang festival berlangsung, pengunjung bakal disajikan dengan persembahan artis dan kumpulan muzik tempatan termasuk Baby Dream Machine, Velocity Band, Agura Band serta beberapa lagi artis popular Sarawak.
Antara pengisian utama festival ialah pertandingan “Rentak Warisan: Tradisi Bertemu Inovasi” anjuran Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK) yang menggabungkan elemen muzik tradisional sape dengan instrumen moden.
Turut diadakan ialah Malam Kebudayaan Kadazan Dusun bersama Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) serta malam khas Persatuan Artis dan Pemuzik Bidayuh Sarawak (BAMA) yang mengetengahkan seni dan muzik masyarakat Bidayuh.
Selain persembahan kebudayaan pelbagai etnik Borneo, festival itu turut dimeriahkan dengan aktiviti kecergasan Zumba yang menggabungkan elemen hiburan dan gaya hidup sihat.
Festival tersebut dijangka terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan budaya serta menyemarakkan sambutan menjelang Hari Gawai.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back