LUNDU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan menyalurkan peruntukan berjumlah RM34,400 kepada golongan sasar sempena sambutan Hari Gawai serta bantuan pendidikan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), hari ini.
Seramai 50 golongan asnaf menerima sumbangan sempena sambutan Gawai, manakala 44 pelajar IPT menerima bantuan pendidikan.
Beliau berkata, bantuan pendidikan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada pelajar dari kawasan berkenaan untuk terus cemerlang dalam pengajian masing-masing, selain kembali menyumbang kepada pembangunan setempat.
Azizul berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan bantuan berkenaan di Lundu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan telah membangkitkan beberapa isu pembangunan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk keperluan memperluas pembinaan jalan pertanian serta meningkatkan liputan telekomunikasi di kawasan berkenaan.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kelulusan tambahan skim bantuan dan peruntukan khusus kepada masyarakat setempat, yang disifatkan sebagai langkah proaktif memperkukuh kesejahteraan rakyat luar bandar.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back