BINTULU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sarawak melalui Pasukan Tindakan Khas (PTK) berjaya menahan seramai 33 warga asing dalam dua operasi penguatkuasaan berasingan di sekitar Bintulu, pada Khamis 14 Mei.
Menurut hantaran di Facebook rasmi JIM Sarawak hari ini, operasi yang tertumpu di kawasan perindustrian Samalaju dan tapak projek pembinaan itu bertujuan membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Dalam operasi pertama, Ops Bersepadu (Ops Sapu) di sebuah penginapan pekerja di Samalaju, seramai 30 lelaki warga Indonesia ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Manakala dalam Ops Mahir yang dijalankan di sebuah tapak projek, tiga lagi lelaki warga Indonesia dicekup atas kesalahan tidak memiliki dokumen serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kesemua individu yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
JIM Sarawak menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua majikan mematuhi peraturan dan tidak menggaji pekerja tanpa permit sah di negeri ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #ImigresenSarawak #OpsSapu #OpsMahir #BintuluNews #JIMSarawak
Back