BAU - Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuching berjaya menahan 16 warga asing dalam operasi bersepadu Ops Gegar dan Ops Selera yang dijalankan di sekitar daerah Bau, pada Rabu 13 Mei.
Operasi tersebut menyasarkan premis yang dipercayai menggaji warga asing tanpa permit sah serta menyalahgunakan dokumen perjalanan.
Seramai 28 pegawai imigresen terlibat dalam serbuan di empat lokasi strategik merangkumi Kampung Jambusan, Pekan Bau, dan Siniawan Central.
Antara premis yang diperiksa termasuklah pusat refleksologi, pusat hiburan, dan restoran. Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan suspek menyalahgunakan Pas Lawatan (Sosial) untuk bekerja secara haram di pusat-pusat hiburan di kawasan berkenaan.
Kesemua individu yang ditahan merupakan warganegara Indonesia yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 55 tahun.
Kesemua mereka kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi membantu siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Pihak JIM menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan berdasarkan hasil risikan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Sumber: fb Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #ImigresenSarawak #OpsGegar #OpsSelera
Back