SIBURAN - Sacofa Sdn Bhd (SACOFA) akan menjadi tulang belakang utama dalam usaha memperkukuh infrastruktur digital negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan kelajuan rangkaian internet di Sarawak, khususnya di kawasan bandar.
Menurut beliau, Sarawak tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada penyedia telekomunikasi komersial, susulan kekangan tertentu yang dihadapi syarikat terbabit dalam usaha menambah baik rangkaian internet.
Sehubungan itu, kerajaan telah mengarahkan SACOFA untuk mempertingkatkan capaian internet di seluruh negeri.
Katanya, kos bagi menaik taraf infrastruktur yang diperlukan akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri memandangkan mejoriti syarikat itu dimiliki oleh kerajaan negeri.
Dengan usaha tersebut, beliau berharap kelajuan internet serta capaian rangkaian di seluruh Sarawak dapat dipertingkatkan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada sesi lawatan turun padang bagi menyaksikan pengagihan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) di Pusat Beli Belah Eastern, Siburan, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas kemungkinan penggunaan teknologi satelit pada masa depan, beliau berkata, perkara tersebut berpotensi dilaksanakan apabila Sarawak memiliki satelit sendiri.
Jelas beliau, atas sebab itu Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi tinggi dan ekonomi baharu supaya tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada gentian optik.
Tambahnya, teknologi orbit rendah bumi (LEO) kini sedang dikaji, termasuk penggunaan cip baharu bagi meningkatkan capaian rangkaian di bumi.
Usaha itu masih dalam peringkat pembangunan, namun sasarannya adalah menjelang tahun 2030.
Back
BILIK BERITA CATS
15 May 2026 | 07:03 PM