SIBURAN – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini mengadakan lawatan turun padang bagi meninjau pelaksanaan pengagihan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) fasa kedua di Siburan.
Pengagihan bantuan itu kali ini menyaksikan peningkatan nilai bantuan bagi semua kategori penerima, susulan pengumuman bantuan tambahan oleh kerajaan negeri ekoran konflik di Timur Tengah bulan lalu.
Ketika ditemui media, beliau berkata, pertambahan nilai bantuan itu diharap dapat membantu meringankan beban rakyat di seluruh Sarawak yang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, objektif kerajaan negeri adalah untuk memastikan rakyat terus mampu membeli barangan keperluan asas di samping menjaga kebajikan masyarakat.
Katanya lagi, kerajaan negeri telah meningkatkan peruntukan bantuan tahun ini daripada RM850 juta kepada hampir RM1 bilion bagi membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Semasa lawatannya di Pusat Beli-Belah Eastern, Siburan hari ini, beliau turut mendengar sendiri maklum balas masyarakat terhadap pelaksanaan bantuan tersebut.
Menurutnya, kebanyakan penerima memberikan reaksi positif dan sudah mula menggunakan bantuan yang diterima untuk perbelanjaan harian.
Tambah beliau, penyaluran bantuan pada bulan Mei amat signifikan kerana ia dapat membantu masyarakat, khususnya kaum Dayak yang bakal menyambut perayaan Gawai tidak lama lagi.
Terdahulu, bantuan SKAS fasa pertama telah disalurkan pada Mac lalu, manakala fasa kedua bermula hari ini sebelum diteruskan dengan fasa ketiga yang dijadualkan pada November depan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back