SHIZUOKA - Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Datuk Mohd Azizulhasni Awang, memulakan kempen di Jepun dengan langkah kanan apabila masing-masing berjaya menaiki podium dalam acara keirin pada Kejohanan Piala Trek Jepun 1, hari ini.
Dalam aksi final yang berlangsung sengit di Velodrom Izu, Shah Firdaus mempamerkan pecutan bertenaga untuk melintasi garisan penamat di kedudukan kedua, sekali gus membawa pulang pingat perak.
Legenda negara, Azizulhasni Awang, pula memastikan penguasaan Malaysia di podium dengan merangkul pingat gangsa.
Pingat emas acara tersebut dimenangi oleh pelumba tuan rumah, Kaiya Ota, yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2022.
Kedua-dua pelumba negara tidak mempunyai masa lama untuk berehat apabila dijadualkan kembali turun ke velodrom esok bagi menghadapi saingan Kejohanan Piala Trek Jepun 2 di venue yang sama.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #ShahFirdaus #AzizulhasniAwang #PialaTrekJepun #Keirin #PocketRocketman
Back