Kuching – Cadangan pembinaan Balai Polis tetap di pekan Lachau, Sri Aman, telah diluluskan dengan peruntukan melebihi RM40 juta.
Balai Polis tersebut akan berada di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.
Mewakili Premier Sarawak, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek itu diluluskan di bawah Projek Sempadan Kementerian Dalam Negeri (Sabah dan Sarawak).
Menurut beliau, projek tersebut akan dilaksanakan di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Tapak yang dicadangkan bagi pembinaan Balai Polis Lachau terletak di Daerah Tanah Selanjan dengan keluasan kira-kira 3.2 hektar.
Projek itu akan merangkumi pembinaan bangunan pentadbiran, kuarters kediaman, kemudahan utiliti, surau, garaj kenderaan, pondok kawalan serta bunker.
Pelaksanaannya akan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong Dagang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Terdahulu, Datuk Mong bertanyakan mengenai perancangan pembinaan Balai Polis tetap di Pekan Lachau, Sri Aman.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back