SIBU - Seorang lelaki berusia 47 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu semalam 14 Mei, atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya dalam satu insiden di sebuah gudang syarikat pengangkutan, awal bulan ini.
Kejadian yang berlaku pada 7 Mei lalu sekitar jam 8.10 pagi itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran mengenai tempat parkir lori.
Pertelingkahan tersebut bertukar menjadi pergaduhan fizikal yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian selepas berada dalam keadaan koma.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Tuan Onn Kork Chern memandangkan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 3 Julai 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes, manakala tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan akan ditahan di Penjara Sibu.
Sumber: fb Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #KesBunuh #MahkamahSibu #PDRMSarawak #Seksyen302
Back