MIRI - Seorang ahli perniagaan wanita berusia 61 tahun kerugian sebanyak RM245,500 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran tender kerajaan yang tidak wujud.
Laporan polis telah diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) Miri pada 14 Mei semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, mengesahkan mangsa yang terlibat dalam bidang pembinaan telah dihubungi oleh suspek pertama yang menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan.
"Suspek menawarkan tender pembekalan barangan elektronik - satu bidang yang di luar kepakaran mangsa. Bagi urusan mendapatkan bekalan tersebut, mangsa diarahkan untuk berurusan dengan suspek kedua," katanya dalam satu kenyataan.
Terpedaya dengan modus operandi tersebut, mangsa telah melakukan empat transaksi pindahan wang ke akaun pihak ketiga yang diberikan oleh suspek.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah membuat semakan terus dengan agensi kerajaan berkaitan dan mendapati tender tersebut tidak pernah wujud.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Shoban Rajendran.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMMiri #ScamAlert #TenderPalsu #WaspadaScam
Back