KUCHING – Enam persatuan media Sarawak terima sumbangan insentif khas daripada kerajaan negeri, melibatkan peruntukan berjumlah RM317,800.
Sumbangan tersebut merupakan susulan pengumuman oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang lalu.
Majlis simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Dalam sidang media selepas majlis berkenaan, beliau menjelaskan bahawa sumbangan itu bukan sebahagian daripada perancangan asal Belanjawan Sarawak yang lalu.
Sebaliknya, ia merupakan inisiatif tambahan yang diluluskan oleh Premier Sarawak pada saat akhir sebagai sokongan kepada komuniti media tempatan.
Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai bukti keprihatinan Premier terhadap peranan penting industri media di Sarawak sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas usaha itu serta menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan industri media di negeri ini.
Terdahulu, sumbangan itu melibatkan enam persatuan media yang berpusat di Sarawak.
Antaranya melibatkan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, Persatuan Wartawan Sibu, Persatuan Wartawan Bahagian Utara Sarawak, Institut Wartawan Rejang Sarawak, Persatuan Wartawan Komanwel Cawangan Sarawak dan Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back