KUCHING – Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2026 bakal tampil dengan pendekatan baharu, menerusi pengenalan sesi bengkel sebagai antara pengisian utama.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan kandungan persidangan kekal relevan serta lebih dekat dengan generasi muda.
Menurut beliau, penganjuran dua edisi SMEC sebelum ini didapati kurang mendapat sambutan daripada golongan berkenaan.
Justeru, pendekatan baharu diperkenalkan bagi memberi nilai tambah kepada program itu, termasuk memperluaskan penyertaan kepada golongan belia dan pelajar universiti pada edisi kali ini.
Beliau berkata, bengkel yang diperkenalkan akan memberi fokus kepada topik kecerdasan buatan (AI) dan digital, pengaruh media, serta isu tadbir urus, etika dan peraturan berkaitan media.
Selain itu, satu lagi sesi bengkel turut dirancang dengan memberi tumpuan kepada aspek teras media, namun lebih menjurus kepada elemen keusahawanan dalam industri berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Insentif Khas kepada Persatuan Media Sarawak di Kuching, hari ini.
SMEC 2026 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat Sarawak, dijadual akan diadakan pada 8 Julai depan.
Dalam pada itu, sambutan HAWANA Sarawak 2026 turut akan dimeriahkan dengan Majlis Makan Malam.
Tumpuan utama majlis itu pastinya terarah kepada penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak kepada beberapa tokoh wartawan terpilih.
Kedua-dua acara berprestij tersebut dijangka akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back