KUCHING - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini diberitahu kerajaan menyediakan dua jenis bantuan utama kepada mangsa banjir melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata bantuan itu meliputi bantuan makanan bermasak atau makanan bungkus dengan kadar RM50 sehari bagi setiap mangsa.
Menurutnya, mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan menerima bantuan kelengkapan asas dan keperluan harian seperti tikar, kelengkapan tidur serta kit kebersihan diri.
Selain itu, katanya, mangsa yang terputus hubungan akibat banjir tetapi tidak berpindah ke PPS diberi bantuan makanan kering dengan kadar tidak melebihi RM100 bagi satu pek untuk seorang bagi tempoh seminggu.
Semasa musim kemarau pula, kerajaan turut menyediakan dua jenis bantuan air bersih iaitu Bantuan Air Tangki dan Bantuan Air Minuman Botol.
Menurut beliau, bantuan berkenaan diberikan kepada penduduk di kawasan yang tidak menerima bekalan air paip atau sumber air bersih daripada pihak berkuasa bekalan air ketika musim panas berpanjangan.
Katanya lagi, bantuan itu juga boleh disalurkan sekiranya sumber air di sesuatu kawasan tercemar dan tidak selamat digunakan untuk penyediaan makanan serta minuman.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back