KUCHING - Sebanyak 5,776 permohonan daripada keseluruhan 13,224 permohonan pelbagai dokumen pengenalan diri di seluruh Sarawak telah diluluskan menerusi Program Pemutihan Warganegara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kelulusan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pasukan Petugas Khas (PPK) pada 20 Januari lalu.
Menjawab pertanyaan ADUN Bukit Semuja, John Ilus pada persidangan DUN Sarawak hari ini, beliau berkata bagi kawasan DUN Bukit Semuja yang meliputi daerah Serian dan Siburan, sebanyak 339 permohonan telah diterima dan diproses.
Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 84 permohonan telah diluluskan dan pemohon akan dikeluarkan dokumen pengenalan diri.
242 permohonan pula tidak berjaya manakala 13 permohonan lagi masih berada di peringkat siasatan lanjut.
Program Pemutihan Warganegara bertujuan membantu individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap untuk mendapatkan pengesahan taraf kewarganegaraan serta dokumen rasmi yang sah.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back