Kuching – Pendekatan 'One Health' akan diketengahkan sebagai strategi utama dalam usaha memerangi wabak rabies di peringkat serantau, menerusi Persidangan Rabies in Asia (RIA) 2026 yang akan datang.
Penganjuran sulung RIA 2026 yang digabungkan dengan Rabies in Borneo (RIB) ke-5 tahun ini, mencerminkan kepentingan memperkukuh kerjasama serantau dalam kerangka One Health di Asia.
Ia khususnya dalam kalangan negara-negara yang masih berdepan cabaran rabies.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kedua-dua platform tersebut akan menghimpunkan pakar-pakar serantau bagi membincangkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam pencegahan dan kawalan rabies.
Menurut beliau, persidangan tiga hari itu bukan sahaja menumpukan kepada rawatan selepas jangkitan, tetapi turut memberi penekanan kepada langkah pencegahan awal.
Ia termasuk vaksinasi haiwan, kawalan populasi anjing liar, pendidikan komuniti serta pengukuhan sistem pengawasan penyakit.
Platform berkenaan turut menyediakan ruang untuk sesi plenari, pembentangan teknikal dan forum antarabangsa yang menekankan perkongsian data, pengalaman serta amalan terbaik antara negara-negara Asia.
Penganjurannya dijangka mengukuhkan lagi kerjasama rentas sempadan dalam penyelarasan dasar kesihatan haiwan dan manusia, di samping mempercepat usaha ke arah matlamat jangka panjang untuk menghapuskan kematian akibat rabies.
Beliau berkata demikian dalam sidang media RIA 2026 dan RIB ke-5 yang diadakan di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back