KUCHING - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2026) 2026 yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.32 bilion.
Peruntukan ini bertujuan menampung kos perkhidmatan luar jangka serta memperkukuh fungsi pelbagai kementerian dan jabatan di negeri ini.
RUU tersebut telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Antara intipati utama peruntukan tersebut termasuklah RM188 juta bagi meneruskan pemberian diskaun 25 peratus bil elektrik kepada pengguna domestik, serta RM90 juta bagi menampung semakan semula elaun Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Selain itu, sebanyak RM1 bilion dialokasikan kepada Kumpulan Wang Berkanun untuk membiayai projek-projek pembangunan negeri.
Manakala sektor sukan dan kebajikan turut menerima agihan RM20 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri bagi persiapan penuh kontinjen Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII di Selangor tahun ini.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #DUNSarawak #RUUPerbekalan #DouglasUggah
Back