KUCHING – Hasrat Sarawak untuk mencapai status negeri sifar rabies menjelang tahun 2030, berkemungkinan perlu dilanjutkan sekiranya tahap kesedaran dan kerjasama masyarakat masih rendah.
Ini termasuk sikap segelintir masyarakat yang masih mengabaikan prosedur mendapatkan rawatan segera selepas digigit haiwan pembawa virus berkenaan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom, mengakui usaha membanteras wabak tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.
Jelasnya, ini kerana virus tersebut masih wujud dalam persekitaran masyarakat melalui haiwan pembawa, khususnya anjing dan kucing.
Menurut beliau, kerajaan bersama agensi berkaitan telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan, termasuk program vaksinasi besar-besaran serta penggunaan vaksin oral untuk anjing liar di kawasan berisiko tinggi.
Pendekatan itu penting bagi meningkatkan imuniti haiwan liar yang sukar ditangkap atau dibawa ke pusat vaksinasi.
Tambah beliau, setakat ini Sarawak merekodkan sebanyak 94 kes rabies dalam kalangan manusia, dengan 87 daripadanya membawa maut.
Angka tersebut menunjukkan tahap jangkitan yang serius dan memerlukan masyarakat untuk lebih peka terhadap bahaya penyakit itu.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak memandang ringan sebarang kes gigitan haiwan, termasuk kucing, yang turut berpotensi menyebarkan jangkitan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena pengumuman penganjuran Rabies in Asia (RIA) 2026 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back