KUCHING - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas.
Usul yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya itu diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan lima wakil rakyat.
Menurut Datuk Dr Juanda, jawatankuasa tersebut ditubuhkan di bawah Seksyen 42(3) Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 dan Peraturan Mesyuarat 74 bagi memastikan laporan serta syor Ombudsman dipantau secara telus dan berkesan.
Jawatankuasa itu dipengerusikan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan dianggotai ADUN Batu Lintang, See Chee How, ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, ADUN Ngemah, Anyi Jana dan ADUN Tellian, Royston Valentine.
Katanya, penubuhan jawatankuasa berkenaan akan memperkukuh prinsip semak dan imbang, meningkatkan integriti pentadbiran awam serta memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan komitmen kerajaan Sarawak dalam mewujudkan pentadbiran cekap, telus serta berintegriti tinggi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back