KUCHING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menyokong cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman di bawah Seksyen 42(3), Ordinan Ombudsman Sarawak 2023, ketika membahaskan usul itu pada Persidangan DUN Sarawak hari ini.
Menurutnya, usul yang dibawa oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya itu bukan sekadar memenuhi kehendak perundangan, malah menjadi mekanisme semak dan imbang yang mampu memastikan setiap syor serta laporan Ombudsman diberi perhatian serius oleh agensi kerajaan.
Beliau berkata sistem Ombudsman yang efektif mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan serta memperkukuh budaya tadbir urus yang baik.
Royston memberitahu, rakyat masa kini bukan hanya menilai kerajaan berdasarkan pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut melihat tahap integriti, kecekapan dan ketelusan pentadbiran.
Justeru katanya, kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang mempunyai sistem semak dan imbang yang kukuh serta berani memperbaiki kelemahan secara terbuka.
Beliau turut mengambil contoh pelaksanaan sistem Ombudsman di Malawi yang menurutnya berkembang daripada sekadar mengendalikan aduan kecil kepada badan yang mampu melaksanakan siasatan sistemik terhadap agensi kerajaan di peringkat tertinggi.
Jelasnya, pendekatan itu berjaya menjadikan Ombudsman sebagai institusi proaktif dalam reformasi perkhidmatan awam negara berkenaan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back