KUCHING - Kerajaan Sarawak menegaskan tiada garis masa khusus dapat ditetapkan buat masa ini bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memandangkan ia melibatkan pelbagai pihak serta pertimbangan dasar dan tafsiran perundangan yang berbeza antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata walaupun beberapa kemajuan telah dicapai dalam aspek autonomi fiskal dan pentadbiran, masih terdapat isu yang memerlukan penelitian terperinci.
Walau bagaimanapun, jelasnya, Kerajaan Sarawak kekal komited untuk meneruskan rundingan secara konstruktif melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 bagi memastikan setiap isu dapat diselesaikan secara berperingkat tanpa menjejaskan kepentingan negeri.
Datuk Sharifah Hasidah berkata demikain pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #UMobile
Back