KUCHING – Usaha Institusi Pentadbiran Sarawak (MASA) membuka peluang pengajian dalam bidang perniagaan bersama Universiti Melbourne, disifatkan sebagai langkah strategik dalam melahirkan pemimpin serta pengurus organisasi masa depan yang lebih berdaya saing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, melalui program pengajian tersebut, para pelajar akan didedahkan kepada pendekatan pengurusan perubahan dalam bidang pentadbiran perniagaan.
Beliau menjelaskan, keupayaan mengurus perubahan merupakan kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh pemimpin masa kini, terutama dalam dunia yang sentiasa berubah dengan pantas.
Katanya, perubahan berlaku secara berterusan, dan hari ini ia berada dalam era teknologi moden yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).
Walaupun pelbagai maklumat dan penyelesaian boleh diperoleh dengan mudah melalui teknologi, ia tetap bergantung kepada input yang dimasukkan ke dalam sistem AI tersebut.
Ujarnya, AI hanyalah alat yang mempercepatkan proses dan membantu mencari penyelesaian, namun kecerdasan manusia kekal penting dalam membuat keputusan yang berkesan.
Beliau berkata, mereka yang menguasai pengetahuan dalam bidang AI berpotensi memahami trend serta meramal perubahan masa hadapan dengan baik.
Beliau menegaskan bahawa kunci utama dalam era perubahan ini ialah keupayaan untuk menyesuaikan diri, kerana keadaan sentiasa berubah dan pemimpin perlu sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu.
Sehubungan itu, Sarawak memperkenalkan pendekatan pendidikan, termasuk peluang pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) bersama Universiti Melbourne melalui inisiatif Institusi Pentadbiran Sarawak (MASA).
Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa pelajar MBA perlu memiliki sifat kreatif dan inovatif dalam mengurus organisasi serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MASA dan Universiti Melbourne, Australia, di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back