MIRI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Miri menahan sebuah vesel tunda bersama tongkang di kedudukan 3.42 batu nautika barat Kuala Miri, tengah hari semalam 11 Mei.
Penahanan dilakukan semasa rondaan rutin di bawah Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 4.0 sekitar jam 12.50 tengah hari.
Pengarah Maritim Zon Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, mengesahkan bahawa pemeriksaan mendapati rakit keselamatan (life raft) vesel tersebut telah tamat tempoh.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata selain itu, pihak pengurusan vesel gagal mengemukakan sijil pendaftaran yang sah.
Vesel berkenaan dikendalikan oleh tujuh kru, terdiri daripada dua warga tempatan dan lima warga Indonesia berusia antara 20 hingga 70 tahun.
Vesel dan tongkang tersebut telah diarahkan berlabuh di lokasi selamat, manakala 'Master' vesel bersama seorang kru dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Miri untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim supaya tidak memandang remeh aspek keselamatan peralatan di laut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #MaritimMalaysia #VeselTunda #APMM
Back