KUCHING – Kerajaan Sarawak melaksanakan pemetaan kesesuaian tanah secara terperinci, bagi mengelaskan sesuatu kawasan mengikut potensi agroekologinya.
Usaha tersebut secara tidak langsung akan memperkukuh sektor pertanian negeri.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, hasil pemetaan tersebut akan dijadikan asas dalam menentukan jenis tanaman yang sesuai diusahakan di sesuatu kawasan.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan aktiviti pertanian dapat dilaksanakan secara lebih terancang berasaskan data saintifik.
Selain itu, kerajaan juga turut menyediakan khidmat nasihat teknikal kepada para petani, termasuk mencadangkan kadar penggunaan baja yang tepat mengikut keperluan tanah.
Langkah itu penting bagi mengelakkan penggunaan input secara berlebihan yang boleh meningkatkan kos pengeluaran.
Pendekatan berkenaan turut disokong melalui bimbingan lapangan oleh pegawai teknikal, agar setiap keputusan penanaman dibuat berdasarkan data dan bukti saintifik.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meting Maro, Dato Razaili Gapor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Terdahulu, Dato Razaili meminta penjelasan mengenai pendekatan kerajaan dalam memastikan khidmat sokongan berkaitan keupayaan tanah dapat membantu golongan petani meningkatkan hasil pertanian selain mengurangkan pembaziran input pertanian.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back