KUCHING – Seramai 4,694 pelajar telah menerima manfaat menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) setakat 31 Mac tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Anuar Rapa'ee berkata, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 2,020 pelajar.
Ia diikuti dengan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dengan 1,959 pelajar.
Bagi Kolej Univerisit i-CATS menerima seramai 172 pelajar dan Universiti Curtin Malaysia dengan 543 pelajar.
Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah penerima FTES dijangka akan terus meningkat, berdasarkan pengambilan pelajar baharu pada Jun dan September nanti.
Katanya, kerajaan menyasarkan keseluruhan seramai 10 ribu pelajar di seluruh Sarawak menerima manfaat daripada skim itu mulai tahun ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Terdahulu, Safiee meminta penjelasan mengenai jumlah pelajar yang menerima manfaat skim berkenaan serta pecahan mengikut institusi pengajian setakat ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa seramai 1,433 pelajar memilih untuk tidak menerima FTES.
Jelasnya, kebanyakan mereka merupakan pelajar tahun akhir pengajian selain terikat dengan kontrak biasiswa masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, keputusan itu secara tidak langsung membuka peluang kepada lebih ramai anak Sarawak lain untuk menerima manfaat daripada inisiatif pendidikan berkenaan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back