KUCHING - Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 45 tahun berjaya ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching pada 6 Mei lalu kerana dipercayai terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Menurut kenyataan Polis Daerah Kuching di Facebook rasminya, suspek ditahan di kawasan Kampung Bako selepas didakwa menyerang seorang lelaki berusia 27 tahun menggunakan kayu skop akibat rasa tidak puas hati.
Akibat serangan tersebut, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan lebam pada mata kiri, luka di bahagian kanan kepala, serta kecederaan pada siku dan belakang badan.
Hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencingnya menunjukkan keputusan negatif dadah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuching menasihati masyarakat agar sentiasa bersabar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang melanggar undang-undang.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDKuching #KampungBako #PDRMSarawak #InfoJenayah
Back