SIBU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Sibu berjaya menahan 81 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam siri serbuan menerusi Ops Sapu yang dijalankan di sembilan lokasi sekitar bandar Sibu dan Selangau pada 9 hingga 10 Mei lalu.
Operasi yang melibatkan 19 anggota penguat kuasa termasuk Pasukan Tindakan Khas (PTK) itu dilakukan hasil risikan dan aduan awam mengenai premis yang disyaki menjadi tempat transit warga asing.
Daripada 114 individu yang diperiksa, seramai 81 orang ditahan melibatkan 80 warga Indonesia dan seorang warga Filipina. Pecahan tangkapan merangkumi 50 lelaki, 18 perempuan, serta 13 kanak-kanak.
Antara kesalahan utama yang dikesan adalah ketiadaan dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Dalam operasi yang sama, seorang majikan tempatan turut diambil tindakan kerana disyaki melindungi dan menggajikan warga asing tanpa izin.
Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Sibu untuk tindakan lanjut.
Sumber: fb Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #ImigresenSibu #OpsSapu #JabatanImigresenMalaysia
Back