KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran permulaan musim Monsun Barat Daya yang dijangka bermula pada 14 Mei 2026 dan akan berterusan sehingga September depan.
Sepanjang tempoh ini, negara diramal akan menerima taburan hujan yang lebih rendah serta bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding musim lain.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd Hisham bin Mohd Anip dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa fenomena ini berpunca daripada corak tiupan angin yang konsisten dari arah barat daya.
Walau bagaimanapun, beliau memberi amaran mengenai fenomena "garis badai" (squall line) yang boleh membawa hujan lebat dan angin kencang secara tiba-tiba di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak, dan barat Sabah, terutamanya pada waktu awal pagi.
Selain itu, MET Malaysia turut mengingatkan orang ramai mengenai risiko jerebu setempat dan rentas sempadan yang sering berlaku antara bulan Julai hingga September.
Masyarakat dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka serta menggunakan air secara berhemah sepanjang musim kering ini bagi mengelakkan krisis bekalan air.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #METMalaysia #MonsunBaratDaya #InfoCuaca
Back