Kuching – Kawasan luar bandar di Sarawak dirancang untuk mengalami transformasi besar sebagai ekosistem ekonomi baharu yang berasaskan teknologi, digital dan inovasi.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembangunan kawasan luar bandar tidak lagi boleh dilihat daripada perspektif tradisional.
Sebaliknya, ia perlu bergerak sebagai satu sistem bersepadu yang menyokong pertumbuhan ekonomi moden.
Menurut beliau, pendekatan tersebut memberi tumpuan kepada penyatuan pelbagai sektor termasuk infrastruktur, pertanian, keusahawanan, pelancongan dan ekonomi digital.
Matlamat bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada penduduk luar bandar.
Antara keutamaan yang perlu diberi perhatian ialah pengukuhan rangkaian infrastruktur perhubungan seperti jalan raya, jambatan serta laluan strategik, yang menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi setempat.
Dalam masa yang sama, pembangunan keusahawanan perlu diperkasakan melalui latihan, bantuan dan kemudahan yang bersesuaian.
Sektor pertanian pula dijangka mengalami perubahan ketara melalui penggunaan teknologi moden yang mampu meningkatkan produktiviti serta daya saing petani.
Selain itu, sektor pelancongan juga turut dikenal pasti sebagai bidang berpotensi tinggi yang bukan sahaja menjana pendapatan, tetapi juga memelihara warisan budaya dan identiti komuniti setempat.
Akses internet dan kemudahan digital juga menjadi elemen penting dalam transformasi ini bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan ekonomi digital, pendidikan dan teknologi semasa.
Tegas beliau, pembangunan luar bandar Sarawak perlu dilihat sebagai satu ekosistem baharu yang saling melengkapi.
Ia sekali gus memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back