KUCHING - Kerajaan Sarawak perlu memanfaatkan sepenuhnya baki tempoh empat tahun sebelum 2030 bagi memastikan segala dasar dan perancangan yang telah dirangka dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat nyata kepada negeri serta rakyatnya.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menjadi panduan utama dalam menentukan hala tuju pembangunan Sarawak ke arah sebuah wilayah yang maju, mampan dan berpendapatan tinggi.
Menurut beliau, Sarawak kini memasuki fasa penting dalam merealisasikan agenda pembangunan berkenaan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya, penekanan perlu terus diberikan terhadap pembangunan industri bernilai tinggi, transformasi digital, tenaga bersih, ekonomi hijau serta pembangunan modal insan bagi memperkukuh daya saing dan daya tahan ekonomi negeri.
Pada masa sama, beliau berkata usaha itu juga mampu menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara untuk terus melabur di Sarawak.
Tun Wan Junaidi berkata demikian dalam ucapan sempena pembukaan Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kuching hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back