Kuching - Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan anak Sarawak dalam menguasai industri aeroangkasa dan teknologi tinggi.
Namun, hasrat tersebut perlu disokong menerusi pembangunan bakat serta latihan kemahiran berterusan yang diperkasakan secara terancang.
Beliau berkata, potensi besar anak tempatan perlu diperkukuh melalui kerjasama strategik pelbagai pihak, bagi memastikan kepakaran yang dibangunkan memenuhi keperluan industri.
Menurut beliau, langkah Kerajaan Sarawak dalam meneroka sektor aeroangkasa dan teknologi tinggi ini bukan sekadar mampu membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi negeri.
Malah ia turut berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.
Katanya, melalui modul latihan dan pembangunan bakat yang tersusun, anak Sarawak diyakini mampu menandingi kepakaran negara lain dalam bidang teknologi, inovasi dan aeroangkasa.
Usaha itu sekali gus meletakkan Sarawak sebagai pusat pembangunan industri aeroangkasa dan teknologi tinggi yang disegani di peringkat serantau serta antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini, di Kuching.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back