KUCHING - Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menuntut tindakan lebih agresif bagi menangani isu judi dalam talian yang kini menjadi ancaman serius kepada masa depan anak muda serta institusi keluarga.
Perkara itu menjadi antara agenda utama dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda PBB Sesi 2025–2028 Kali Ketiga yang dipengerusikan oleh Ketuanya, Datuk Martin Ben, pada Ahad 10 Mei.
Selain isu sosial, sayap pemuda tersebut turut membincangkan bebanan kewangan golongan muda akibat kenaikan harga rumah. Mereka mendesak agar skim perumahan mampu milik diperbanyakkan dan tindakan tegas diambil terhadap pemaju yang gagal menyiapkan projek.
Dalam usaha mempersiapkan belia Sarawak mendepani ekonomi masa hadapan, Pemuda PBB akan memperkasa penglibatan anak muda dalam sektor pertanian moden, industri minyak dan gas, serta bidang teknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI).
Mesyuarat tersebut turut menyelaraskan persiapan bagi program jelajah empat zon utama (Utara, Tengah, Kuching, dan Betong) sebagai persediaan menjelang Konvensyen PBB 2026.
Sumber: fb Sarawak First
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PemudaPBB #SarawakMaju2030 #SayNoToOnlineGambling
Back