KUCHING – Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 rasmi dibuka hari ini, dalam suasana penuh istiadat di Kompleks DUN Sarawak, Petra Jaya.
Istiadat pembukaan mesyuarat tersebut disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Ketibaan pasangan itu sekitar jam 9 pagi tadi, telah disambut oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg, serta Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Istiadat perbarisan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sempena pembukaan rasmi persidangan kali ini, telah diketuai oleh DSP Amirol Mahathir Mohamad Khoiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perbarisan yang berlangsung pagi ini melibatkan kekuatan seramai 105 anggota PDRM yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan.
Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan perasmian Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19 oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Persidangan Pertama DUN Sarawak bagi penggal kelima ini akan berlangsung selama lapan hari, bermula hari ini hingga 20 Mei depan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back