CYBERJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan negara kini berada dalam tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi ancaman penularan Hantavirus, meskipun tiada kes melibatkan rakyat tempatan direkodkan setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan bahawa langkah berwaspada perlu dipertingkatkan susulan laporan antarabangsa mengenai wabak yang dikaitkan dengan sebuah kapal persiaran di Eropah.
Menurut beliau, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah bersedia dengan kapasiti diagnosis menggunakan teknologi Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk pengesanan pantas.
Sebagai langkah pencegahan, kawalan di pintu masuk antarabangsa telah diperkasakan.
Setakat ini, sebanyak 22,367 kapal dan bot telah diperiksa bagi memastikan pematuhan piawaian sanitasi.
Dr Dzulkefly turut mengingatkan orang ramai bahawa Hantavirus, yang dibawa oleh tikus, mempunyai kadar kematian tinggi sehingga 40 peratus bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS), justeru pemantauan berterusan adalah kritikal bagi menjamin keselamatan kesihatan awam.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #Hantavirus #KKM #MalaysiaSiapSiaga #InfoKesihatan
Back