ASAJAYA - Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menggesa syarikat telekomunikasi dan kementerian berkaitan untuk menangani isu liputan internet lemah di kawasan Asajaya dan Samarahan dengan serius.
Beliau menegaskan bahawa kawasan tersebut yang terletak berhampiran bandar raya Kuching tidak sepatutnya berdepan masalah konektiviti yang boleh menjejaskan urusan harian masyarakat.
Berucap pada perasmian Program BeliaGoBiz Samarahan@Asajaya 2026 di Kompleks Sukan Asajaya hari ini, Dato Sri Abdul Karim menyatakan bahawa internet kini merupakan keperluan asas, bukannya pilihan lagi.
Beliau turut mendedahkan kesukaran urusan pembayaran digital di stesen minyak akibat capaian tidak stabil sebagai salah satu contoh kesan nyata masalah tersebut.
ADUN Asajaya itu komited untuk terus membangkitkan isu ini bagi memastikan penduduk luar bandar mendapat kemudahan digital yang setaraf dengan kawasan bandar.
Tegasnya, infrastruktur digital yang kukuh adalah kunci utama untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing serta mampu mengisi peluang pekerjaan mahir yang bakal wujud hasil pembangunan pesat di Samarahan kelak.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #Asajaya #Samarahan #InternetSarawak #AbdulKarimHamzah
Back