MUKAH - Pihak Polis Daerah Mukah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan selepas ditemui memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di kawasan parkir kenderaan Lapangan Terbang Mukah, petang semalam 8 Mei.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Bin Alias dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan itu ditahan pada jam 3.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah.
Katanya, semasa serbuan dilakukan, suspek didapati sedang duduk di tempat duduk pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Hasil pemeriksaan menemui satu keratan tiub straw lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine (Syabu) seberat 0.36 gram.
Ujian urin turut mengesahkan suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 12 Mei 2026 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDMukah #PerangDadah
Back