KUCHING - Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Alexander Nanta Linggi, memberi isyarat terbuka mengenai kemungkinan beralih daripada arena politik Persekutuan ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Menteri Kerja Raya itu menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan peranan di peringkat negeri sekiranya terdapat keperluan dan mendapat persetujuan kepimpinan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Nanta, yang telah lama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kapit, turut menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut beliau, keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada barisan pelapis muda dalam PBB untuk memimpin.
Datp Sri Alexander berkata demikian ketika ditemui media semasa menghadiri Mesyuarat Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini, hari ini.
Nanta turut menjelaskan bahawa tempoh perkhidmatannya yang panjang di peringkat Parlimen memberi ruang untuk menilai semula bentuk khidmat yang boleh diberikan kepada rakyat Sarawak.
Sekiranya perpindahan ke peringkat DUN berlaku, beliau tidak menolak kawasan di sekitar Kapit sebagai pilihan utama.
Walau bagaimanapun jelasnya, keputusan akhir tertakluk sepenuhnya kepada keputusan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sumber: Jiwa Bakti
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #AlexanderNantaLinggi #PBBSarawak #PRNSarawak #PRU16
Back