SERIAN - Nilai rampasan dadah di Sarawak mencatatkan lonjakan drastik hampir tujuh kali ganda dengan nilai keseluruhan RM33,010,733.50 setakat 3 Mei tahun ini.
Angka itu menunjukkan kenaikan mendadak sebanyak 697.36 peratus berbanding RM4.14 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak (DCP) Saifullizan Ishak, mendedahkan bahawa peningkatan ini dipacu oleh rampasan luar biasa dadah jenis serbuk MDMA yang melonjak 2,577 peratus, selain kemunculan dadah sintetik baharu iaitu MDMB-4EN-Pinaca.
Beliau menegaskan bahawa keberkesanan ini adalah hasil daripada penguatan operasi di pintu sempadan dan lapangan terbang, termasuk penggunaan unit K9 yang lebih agresif.
DCP Saifullizan berkata demikian selepas merasmikan Program Dialog Awam Kontinjen PDRM Sarawak 2026 di Pusat Persidangan Serian, hari ini.
Bagi daerah Serian katanya, sebanyak 171 tangkapan telah direkodkan, meletakkan daerah tersebut dalam senarai 10 kawasan tertinggi aktiviti dadah di Sarawak.
Sebagai langkah proaktif, PDRM telah memperkukuh Pejabat Sekretariat Narkotik (SNN) di Tebedu untuk mengekang penyeludupan merentas sempadan.
Walaupun statistik meningkat, pihak polis mengesahkan setakat ini tiada ancaman "dadah zombi" dikesan di negeri ini.
Sumber: Suara Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMSarawak #PerangDadah #SayNoToDrugs
Back