KOTA SAMARAHAN - Proses penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan bahawa isu-isu kritikal melibatkan perundangan dan kos pengambilalihan berjumlah RM1.8 bilion telah pun diselesaikan secara prinsip.
Beliau memaklumkan draf perjanjian akhir kini sedang menunggu pengesahan Jemaah Menteri sebelum majlis penyerahan rasmi dilaksanakan.
Menurutnya, satu mesyuarat terakhir bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan butiran akhir perjanjian tersebut.
Anthony Loke berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Laluan Baharu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti BAS.MY Kuching, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Loke turut mengumumkan kelulusan kos berjumlah RM445 juta bagi projek menaik taraf Lapangan Terbang Miri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Projek yang dijangka bermula tahun ini bertujuan menampung kapasiti penumpang yang semakin meningkat serta memperkukuh peranan Lapangan Terbang Miri sebagai hab utama Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) menerusi syarikat penerbangan AirBorneo.
Sumber: BERNAMA
BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PelabuhanBintulu #AnthonyLoke
Back