KUCHING - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijadualkan bermula 11 Mei ini akan menyaksikan pembentangan empat Rang Undang-Undang (RUU) penting, dengan tumpuan utama diberikan kepada RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, memaklumkan bahawa RUU tersebut bertujuan menubuhkan sebuah badan berkanun bagi menyelaras dan memperkukuh industri padi serta beras di negeri ini.
Ujarnya, langkah ini merupakan strategi penting kerajaan negeri dalam menjamin keselamatan makanan serta memastikan pembangunan kawasan penanaman padi dilakukan secara tersusun.
Selain itu katanya, DUN Sarawak juga akan membentangkan RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 serta dua RUU Perbekalan Tambahan.
Persidangan selama lapan hari itu akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sebanyak 333 soalan telah diterima daripada Ahli-Ahli Dewan untuk dibincangkan sepanjang sesi persidangan kali ini.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #DUNSarawak #LembagaPadiSarawak #KeterjaminanMakanan
Back