BINTANGOR - Seorang buruh pembinaan jambatan warga Bangladesh maut selepas dirempuh sebuah lori dalam satu kemalangan tragis di Jalan Serdeng, berhampiran simpang Kampung Jaluh Baru, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering mengesahkan mangsa, Md Fazlur Rahman, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku sekitar jam 8.50 pagi itu berpunca apabila mangsa dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba dari bahu jalan kiri semasa lori berkenaan menghampiri lokasi.
Katanya, pemandu lori yang dalam perjalanan dari arah Semop menuju ke Sibu dilaporkan tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sarikei untuk proses bedah siasat dan pihak Kedutaan Bangladesh telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #Meradong #KemalanganMaut #PDRMSarawak
Back