Kuching – Industri kraf terus dilihat sebagai medium penyatuan kaum yang menghubungkan kepelbagaian budaya di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap hasil kraf bukan sekadar mencerminkan identiti sesuatu kaum.
Sebaliknya, ia turut menjadi simbol penghargaan dan persefahaman antara masyarakat yang berbeza.
Menurut beliau, pelbagai platform pembangunan industri kraf memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan.
Ia termasuk melalui pameran, bengkel dan program yang menjadi wadah perkongsian ilmu serta kemahiran dalam kalangan penggiat industri kraf tempatan.
Tegas beliau, kraf Sarawak merupakan lambang kebanggaan rakyat negeri ini.
Keunikan setiap hasil kraf, daripada corak motif hingga reka bentuk, mencerminkan warisan serta kisah jati diri masyarakat Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa usaha memperkasa industri kraf perlu diteruskan bagi memastikan warisan kraf negeri ini kekal relevan dan tidak lapuk ditelan zaman.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Snowdan Lawan, pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Pra-Gawai Majlis Kraf Sarawak 2026 di Kuching, malam tadi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back