Kuching — Para penggiat industri kraf tempatan diseru untuk mendaftar dengan Majlis Kraf Sarawak (SCC), bagi memperluas potensi produk mereka ke pasaran yang lebih luas.
Langkah itu penting dalam membantu kerajaan mengenal pasti pengusaha kraf tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pemasaran kepada mereka.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Snowdan Lawan berkata, industri kraf bukan sahaja memainkan peranan dalam memelihara warisan budaya negeri.
Sebaliknya, ia turut menyumbang secara langsung kepada pendapatan rakyat dan pembangunan ekonomi tempatan.
Menurut beliau, produk kraf tempatan mempunyai nilai komersial tinggi serta berpotensi menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa sekiranya menerima sokongan sewajarnya.
Jelas beliau, sokongan dari segi latihan, inovasi, reka bentuk serta akses kepada pasaran digital dan global, diyakini mampu membantu pengusaha kraf mencapai hasrat tersebut.
Perkembangan itu secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan penggiat industri, selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor kreatif yang semakin berkembang di Sarawak.
Tambah beliau, setakat ini kira-kira 1,500 penggiat industri telah berdaftar, namun jumlah sebenar pengusaha kraf di Sarawak dipercayai jauh lebih tinggi daripada angka tersebut.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Pra-Gawai <span;>SCC<span;> 2026, di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back