SIBU - Sarawak diiktiraf sebagai contoh terbaik pembangunan inklusif negara menerusi pencapaian skor tertinggi dalam Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mendedahkan Sarawak mencatat skor 0.791, membuktikan keutuhan perpaduan dan keharmonian etnik di negeri tersebut.
Berucap ketika merasmikan Kanowit Cultural Festival 2026 Siri 1 di Kanowit Waterfront hari ini, beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil budaya saling menghormati yang diamalkan masyarakat Sarawak.
Datuk Aaron turut berharap festival tersebut dapat disenaraikan sebagai acara ikonik dalam kalendar Sarawak Tourism Board bagi mempromosikan warisan etnik serta menjana sosioekonomi setempat.
Festival yang berlangsung sehingga 31 Mei ini dimulakan dengan Program Niti Daun yang menyaksikan penyertaan 36 kontinjen daripada pelbagai kaum termasuk Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, dan Orang Ulu.
Perarakan berbusana tradisional tersebut mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi teras kekuatan Sarawak sebagai rujukan perpaduan di peringkat nasional.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakModelPerpaduan #IPNas2025 #KanowitCulturalFestival #NitiDaun #SegulaiSejalai
Back