SIBU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad menggesa agar pemeriksaan keselamatan elektrik dilakukan secara menyeluruh di sekolah-sekolah, terutamanya yang melibatkan bangunan lama berasaskan kayu.
Kenyataan ini susulan insiden tragis yang mengorbankan Fahrin Jumarudy Abdullah, 16, dan menyebabkan seorang lagi pelajar cedera parah di sebuah sekolah di Daro, Rabu lalu (6 Mei).
Dr. Safiee menegaskan bahawa sistem pendawaian lama perlu diteliti semula kerana kemungkinan wujudnya pendawaian tambahan yang tidak mengikut spesifikasi atau dilakukan oleh pihak tidak bertauliah.
Beliau menekankan bahawa aspek keselamatan pelajar harus mengatasi pertimbangan kos semata-mata bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Selain pemeriksaan fizikal, Safiee turut mencadangkan agar pendidikan kesedaran keselamatan elektrik diperkukuh dalam kalangan pelajar asrama.
ADUN Daro itu juga menasihati orang ramai agar tidak menuding jari atau membuat spekulasi di media sosial, sebaliknya membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.
Setakat ini, mangsa yang cedera masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #Daro #KPM
Back