TAWAU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya melumpuhkan sebuah sindiket dadah rentas negeri dan antarabangsa berikutan penahanan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Miri, Sarawak, Sabtu lalu (2 Mei).
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa suspek utama berusia 34 tahun, yang dipercayai ketua sindiket, ditahan di Krokop bersama wang tunai RM590,000.
Manakala suspek kedua berusia 50 tahun yang bertindak sebagai pemandu (transporter) ditahan di Jalan Palmaedar dengan rampasan tunai berjumlah RM230,000.
Beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau hari ini berkata, sindiket tersebut dikesan aktif sejak Jun tahun lalu dengan modus operandi menggunakan perkhidmatan kurier, keldai dadah, serta kontena melalui laluan laut untuk pasaran Sabah, Sarawak, dan luar negara.
Menurutnya lagi, selain wang tunai, polis turut menyita harta benda di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM2.42 juta.
Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau kini direman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #OpColeoptera #PDRM #JSJN #PerangDadah
Back