LAWAS - Pihak Polis Daerah Lawas berjaya mematahkan satu cubaan mencuri di sebuah tapak projek pembinaan di Jalan Kampung Gelugus serta menahan beberapa individu dalam operasi berasingan berkaitan penyalahgunaan dadah, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan memaklumkan tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang ditemui bersembunyi di dalam kabin jentera berat oleh pengawal keselamatan.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan susulan membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan, termasuk seorang warga emas berusia 64 tahun.
Pihak polis turut merampas sebuah motosikal dan enam tong plastik biru. Dua daripada suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Dalam kes berasingan di kawasan bandar Lawas, seorang buruh berusia 29 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemui 15 mililiter cecair disyaki ganja yang disimpan di dalam tiga botol plastik. Suspek juga didapati positif dadah jenis ketamin.
Sementara itu, seorang lagi warga emas berusia 64 tahun ditahan di Jalan Trusan selepas ujian urin menunjukkan keputusan positif dadah.
Kesemua kes kini disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMLawas #DadahMusuhNegara
Back