KAPIT - Pihak Polis Daerah Kapit berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri beg simen, pada Rabu 6 Mei.
Tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kapit di sebuah kawasan parkir sekitar pekan Kapit.
Ketua Polis Daerah Kapit memaklumkan bahawa serbuan tersebut dilakukan hasil maklumat dan laporan polis yang diterima pada 4 Mei lalu.
Dalam operasi berkenaan, pihak polis turut merampas dua beg simen beserta sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan jenayah tersebut.
Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Pihak polis menasihatkan masyarakat agar lebih berwaspada dalam menjaga keselamatan harta benda serta menyalurkan sebarang maklumat jenayah bagi memastikan keamanan daerah Kapit terus terpelihara.
Sumber: fb IPD Kapit
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMKapit #KesCuri #CegahJenayah
Back