KUCHING - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak berjaya menahan seramai 43 warga asing dalam siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi strategik sekitar bandar raya ini bermula awal pagi semalam sehingga lewat malam tadi.
Operasi yang diketuai Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching itu bermula di Jeti Pendaratan Ikan LKIM Tanjong Bako dengan kerjasama pihak LKIM.
Serbuan tersebut menyasarkan warga asing yang dipercayai telah lama menetap dan bekerja di kawasan jeti tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Operasi kemudiannya diperluas ke tapak pembinaan rumah di Kampung Jaya Bakti dan Kampung Sungai Batu pada sebelah petang, di mana beberapa pekerja binaan warga asing ditahan atas kesalahan yang sama.
Menjelang waktu malam, pihak berkuasa menyerbu rumah pekerja dan bilik sewa di Lee Ling Commercial Centre, Pines Square Batu Kawa, dan Taman Hui Sing.
Kesemua 43 individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Pihak JIM Sarawak menegaskan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan undang-undang negara dipatuhi sepenuhnya.
Sumber: fb Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #ImigresenSarawak #OpSapu
Back