KUCHING - Sijil Pengiktirafan Sarawak Delta UNESCO Global Geopark (UGGp) secara rasmi diserahkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Sijil berkenaan disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Pengiktirafan bertaraf dunia ini merupakan hasil usaha berterusan selama 17 tahun oleh pelbagai pihak yang diterajui Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak bagi memartabatkan khazanah geologi negeri ke peringkat antarabangsa.
Sarawak Delta UGGp yang merangkumi kawasan seluas 3,112 kilometer persegi memiliki keunikan geologi serta biodiversiti yang kaya, termasuk habitat orang utan dan warisan budaya peribumi yang unik.
Terdahulu, delegasi Sarawak yang diketuai Datuk Len Talif Salleh telah menerima sijil tersebut daripada pihak UNESCO di Paris pada 27 April lepas.
Pengiktirafan ini dijangka memperkukuh kedudukan Sarawak dalam aspek pemuliharaan alam semula jadi serta sektor pelancongan lestari global.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakDelta #UNESCO #GlobalGeopark
Back